Gua dan Makcik Pembersih

Sukar dinafikan, daripada time gua kat maahad sampai UTP, gua mempunyai satu ‘special bonding’ dengan makcik-makcik disana. Sewaktu di maahad, ketika budak-budak lain hanya dihidangkan dengan nasi berserta air masak, gua selalunya akan mendapat nasi berserta ayam saiz besar dan tidak dilupakan, air perasa sarsarapilla. Itu belum citer hal anak pompuan macik cleaner yang cun yang selalu ajak gua makan bersama dia. Ajak makan je la. Nak ajak buat benda-benda lain, gua baru 5 tahun time tu. Tak cukup umur.

Time gua kat asrama, ‘special bonding’ tu tetap ada. Tapi tak macam dulu pasal macik cleaner selalu tukar-tukar. Minggu ni orang lain, minggu depan orang lain pulak. Gua hanya tegur-tegur cam biasa je. Cuma sewaktu gua form 4, barulah dikekalkan makcik cleaner di setiap blok. Dan oleh kerana time ni gua dah form 4, selalunya gua akan meng’escape’ kelas-kelas terutamanya kelas selepas waktu rehat atas dasar kelas selepas rehat ni tak berapa nak mencabar minda gua.

Bila gua ponteng ni, selalunya gua akan mendengar walkman, membaca Kreko serta beberapa helai ayat-ayat suci Al-Quran di dalam dorm. Cuma apabila bateri walkman gua kong dan Kreko edisi baru masih lagi belum keluar, gua akan berasa kebosanan dan hilang arah tujuan. Terasa pengorbanan gua untuk ponteng kelas hanya sia-sia belaka. Ketika situasi ini, biasanya gua akan keluar dan duduk di tangga sambil bersembang dengan makcik cleaner. Macam-macam yang gua bualkan, daripada hal kenaikan harga minyak sampai ke tips untuk memikat wanita, semuanya gua penah bincangkan bersama makcik cleaner.

Makcik cleaner ni juga merupakan sebab mengapa gua tak pernah kantoi ponteng kelas. Sekiranya ada warden yang melakukan rondaan, makcik cleaner akan bergegas laju ke bilik gua lalu menyuruh gua menyorok di tempat khas yang memang gua sediakan untuk situasi mencemaskan seperti ini. Di mana tempat khas itu, biarlah ia menjadi rahsia gua, member-member gua yang selalu ikut gua ponteng kelas dan makcik cleaner. Makcik cleaner ni juga akan menumpangkan gua untuk outing ketika pergi ke Teluk Intan di kala pelajar yang lain sibuk menunggu bas di bawah terik sinaran matahari. Pendek kata, kalau makcik cleaner ni ada anak perempuan, memang sah-sah gua akan dibuatnya jadi menantu.

Masuk UTP pulak, ukhuwah bersama makcik cleaner ni masih gua bina dengan penuh konsisten. Sewaktu di tahun pertama, gua bersama roommate gua yang bisu dicampakkan ke blok V2-B, agak jauh daripada geng-geng gua yang lain yang kebanyakannya diletakkan di V2-A. Bersesuaian dengan nama, V2-A terletak ‘A’tas tanah rata manakala V2-B pula terletak di atas ‘B’ukit dimana kalau selipar anda telah kehilangan grip, nescaya anda akan bergolek jatuh ketika proses pendakian.

Di V2-B tingkat 2, semua pelajar-pelajar lain adalah pelajar international. Mostly dari Turkmenistan, Sudan dan Indonesia. Hanya gua dan roommate gua orang Malaysia. Ini secara tidak langsung membuatkan gua merasakan yang gua berada di luar negara. Segala komunikasi akan berlaku sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Turkmenistan. Hanya kadang-kadang sahaja gua cakap Melayu. Tu pun kalau budak-budak international ni nak belajar mencarut.

Di V2-B ni jugak gua berkenalan dengan makcik cleaner yang gua rasa paling dedikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai cleaner. Makcik Rafeah namanya. Makcik Rafeah kalo membersih, bukan setakat menyapu, siap mop lagi. Kadang-kadang kasut but bola gua kat luar tu pun dimopnya sekali. Ketika koridor blok V2-A habis dipenuhi lalat akibat kes tumpahan kuah roti canai yang tak dibersihkan sejak 3 bulan lalu, koridor V2-B pula sentiasa bersih, berkilat dan jauh daripada serangga perosak. Kelibat makcik ‘pirate’ di V2-A juga amat menyeramkan sehingga tiada sesiapa pun yang berani untuk menyuruh makcik ‘pirate’ membersihkan sisa tumpahan kuah roti canai tersebut.

Nak dijadikan cerita, makcik Rafeah ni memang seorang yang suka berbual. Dengan budak-budak international pun die layan sekali. Pertama kali gua lihat komunikasi 2 hala yang berlaku dengan bahasa yang berbeza dapat difahami oleh kedua-dua pihak. Tapi benda ni jadi kadang-kadang je la. Selalunya gua akan disuruh menjadi penterjemah untuk makcik Rafeah. Tempat perbualan pula selalunya berlaku dalam bilik air sahaja dengan gua selalunya hanya bertuala sambil duduk di atas sinki sambil memberus gigi.

3-4 bulan pastu, makcik Rafeah cakap sumthing dengan gua.

“Makcik tengok kamu ni tak penah pun bangun sarapan. Asal-asal bangun je, lepas mandi kamu terus bawak beg pegi kelas. Tak lapar ke time kelas?”

Gua balas dengan penuh beradab.

“Lapar tu memang la makcik. Tapi biase la. Kite kena la jimat skit kan makcik? Selalunya dalam pukul 11 tu saya dah makan tengah hari. Kira sarapan tu saya sekali dengan lunch la. Jimat skit camtu. Hehe”

“Haish. Kamu ni mana boleh macam tu. Sarapan tu penting untuk kesihatan. Kang nanti besok makcik buatkan ye?”, kata Makcik Rafeah dengan tegas.

“Laa. Tak payah la makcik. Buat susah-susah je. Kang makcik penat je masak untuk saya nanti. Tak payah. Kalau makcik buat sekalipun, saya takkan terima. Buat susah makcik je.”, gua membalas dengan lebih tegas tapi masih lagi bertatasusila.

“Emmmm”, makcik Rafeah terdiam seketika.

Keesokan harinya.

Pukul 7.00 pagi, pintu bilik gua diketuk.

Ni ketuk bukan main-main punya ketuk. Ni ketuk macam nak kasi pecah pintu.

Gua bukak pintu.

Celaka. Takde orang. Sapa pulak yang main ketuk-ketuk pintu bilik gua ni.

Gua usha tombol pintu luar. Terdapat satu plastik hitam bergantungan. Di dalam plastik itu, terdapat beberapa ketul lepat pisang dan karipap.

“Terima kasih makcik!!”, gua menjerit lalu beberapa titis air mata gua mengalir, terharu dengan kebaikan budi makcik Rafeah.